Kembali ke Senarai Soalan
59jumlah·0hari ini·1minggu ini·2bulan ini·59tahun ini
IbadahDijawab pada 13 Mei 2026

Pemasangan Bakut/Napor pada Kubur

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah pemasangan Bakut/Napor pada Kubur dibenarkan?? Dan apakah prosedur yang perlu diikut berdasarkan negeri Sarawak untuk pemasangan Bakut/Napor ini, serta batu nisan dan air asah-asahan (ataupun air mawar) untuk menyiram Kubur?? Terima kasih.

Jawapan

Jawapan Bertulis

Assalamualaikum. Secara umum, pemasangan bakut/napor pada kubur adalah dibenarkan di Sarawak sekiranya mengikut panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Mufti Sarawak dan tidak dibuat secara berlebihan. Menurut panduan Jabatan Mufti Sarawak, binaan napor/bakut tidak boleh ditinggikan melebihi ukuran yang ditetapkan, tidak boleh ditutup bahagian atasnya dengan simen, kayu atau bahan lain, tidak boleh dibina pagar, bangku, bumbung dan binaan tambahan di atas atau sekitar kubur, serta tidak boleh menyerupai unsur agama lain atau bercanggah dengan hukum syarak. Ukuran yang dinyatakan ialah: • Kubur dewasa: 44” x 24” x 8” • Kubur kanak-kanak: 24” x 16” x 6” Batu nisan pula dibenarkan sebagai tanda pengenalan kubur, selagi tidak berlebih-lebihan atau dijadikan binaan megah. Adapun menyiram air biasa, air mawar atau air asah-asahan di kubur, ia tidak boleh disertai kepercayaan khurafat seperti mempercayai air tersebut memberi manfaat tertentu kepada si mati. Jika sekadar adat kebersihan atau penghormatan tanpa kepercayaan yang bercanggah dengan akidah, maka ia perlu dijaga supaya tidak melampau. Dalil berkaitan larangan berlebihan pada kubur ialah hadis Jabir RA bahawa Rasulullah SAW melarang kubur dilepa, diduduki dan dibina binaan di atasnya. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Kesimpulannya, pemasangan bakut/napor dan batu nisan boleh dibuat di Sarawak dengan syarat mematuhi panduan Jabatan Mufti Sarawak serta mengelakkan unsur pembaziran, kemegahan, khurafat dan binaan berlebihan. Rujukan: 1. Jabatan Mufti Sarawak – Panduan Binaan Napor/Bakut di Tanah Perkuburan. 2. Jabatan Mufti Sarawak – Panduan Binaan Tanda Arah Kiblat di Tanah Perkuburan. 3. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – Al-Kafi #571: Hukum Membuat Binaan di Atas Kubur. 4. Sahih Muslim, hadis larangan melepa, duduk dan membina binaan di atas kubur. Wallahu a‘lam.
3 orang menyukai
Kongsi JawapanPerlu log masuk

Penafian: Jawapan yang diberikan melalui JS Link adalah berbentuk bimbingan umum sahaja dan bukan merupakan fatwa atau keputusan rasmi. Bagi perkara yang memerlukan keputusan rasmi, sila rujuk kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) atau Pejabat Mufti.